Pages

Monday 20 February 2017

Hadith Dhaif Paling Popular Mengenai Simpanan Emas

Seperti yang dikongsi oleh Tn. Yuhailmy Jamil (tulisan ini adalah kredit kepada beliau)

Pernah hati saya terpanggil atas kebenaran Hadis paling popular menyimpan Emas seperti dilampiran.

Jujurnya, terdapat ramai orang yang kurang cermat ketika menyampaikan hadis Baginda Rasulullah SAW yang mana tidak mengikuti disiplin yang sepatutnya.

Hadith menyimpan Emas ini sangat popular di blog juga di media sosial kepunyaan para Peniaga Emas dan Perak.

Sedikit sebanyak maklumat yang mampu saya kumpulkan untuk dikongsikan demi kebaikan bersama. In Shaa Allah

=======================
Cerita ini bersandarkan kepada hadis yang berikut:

Abu Bakar Ibn Abi Maryam melaporkan,

“Akan tiba suatu zaman di mana tiada apa yang bernilai dan boleh digunakan oleh umat manusia. Maka simpanlah dinar dan dirham."

(Hadis dari Musnad Imam Ahmad Ibn Hanbal)

=======================
Ulama hadis menyebut apabila ada hadis dilaporkan oleh Abu Bakar Ibn Abi Maryam (perawi) maka status hadis tersebut adalah lemah (dhaif) kerana perawi tersebut tidak kuat ingatannya. Dalam disiplin Ilmu Hadis, seorang perawi hadis wajib mempunyai ingatan yang kuat bagi membolehkan hadis tersebut mencapai autoriti sahih / hasan. Hadis dhaif tidak boleh dijadikan hujah untuk mengeluarkan hukum. Justeru, hadis ini tidak boleh digunakan melainkan ada autoriti Quran dan Hadis sahih / hasan yang menyebut tentang perkara yang sama.

Wujud pihak yang menggunakan hadis ini untuk melariskan jualan Emas dan Perak dengan memberitahu Rasulullah SAW menyuruh kita menyimpan Dinar dan Dirham. Sedangkan ada ayat Quran dan hadis lain yang lebih kuat autoritinya yang menyebut sebaliknya.

Antaranya:

“Dan (ingatlah) orang -orang yang menyimpan Emas dan Perak (duit) serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” [ at-Taubah: 34 ]

“Sesungguhnya ulama itu adalah pewaris para nabi. Para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka hanya mewariskan ilmu. Maka barangsiapa yang mengambil (warisan ilmu) tersebut ia telah mengambil habuan yang paling sempurna.” [ Hadis status Hasan direkodkan oleh Imam Ahmad, Imam Tarmizi, Imam Abu Daud & Imam Ibnu Majah ].

Justeru itu, tiada salahnya menyimpan logam mulia ini kerana hukumnya 'Harus'. Buat mereka yang tidak menyimpan pun bukannya menjadi suatu kesalahan.

Namun, menyimpan Emas ini tetap terbaik berbanding Wang Fiat yang hanyalah sekeping kertas tercetak yang mudah untuk dimanipulasikan serta terdedah dengan kehakisan kuasa beli atas faktor inflasi.

Isu yang saya ketengahkan di sini ialah 'Kewajaran' penjual Emas menggunakan hadis ini sewenang-wenangnya tanpa menyatakan status sah demi melariskan jualan atas dasar agama.

Secara peribadi, sekiranya kita ingin menggunakannya, seseorang penjual itu harus menyatakan bahawa Hadis yang digunakan ini berbentuk Dhaif kepada bakal pembeli / prospect supaya mereka tahu bahawa ianya tidak boleh dijadikan hujah.

Seperkara lagi, walaupun ianya hadis dhaif (selagi #Bukan hadis tersangat dhaif atau hadis #Maudhu' - palsu), ianya tetap hadis. Cuma sanad dan perawinya tidak mencapai taraf hasan atau sahih.

Jauh dari lubuk hati saya yang ikhlas, saya memohon ampun dan maaf kepada semua para pembaca juga para pelanggan saya di bawah Hailmy Wealth Management & Trading sekiranya selama ini tidak sesekali menyatakan status hadis tersebut secara terbuka. Semoga hidup kita dilimpahi kasih dan rahmat dari yang Maha Esa serta terus terpelihara dari sebarang keraguan. Allahumma Ameen.

Wallahu a'lam

================================
+6019 345 6033 | Yuhailmy Jamil | PG00056392
Public Gold Authorized Priority Dealer

No comments:

Post a Comment